Wednesday, April 10, 2013

Terima kasih Roslinda Samsu

Petikan suratkhabar Utusan Malaysia 08.04.2013


KUALA LUMPUR - Ratu lompat bergalah wanita negara Roslinda Samsu tidak akan berganjak daripada keputusan untuk bersara dan melupakan Sukan SEA 2013, November ini bagi memberi tumpuan kepada kerjaya baharu sebagai guru serta jurulatih.
Roslinda yang pernah menggenggam empat pingat emas Sukan SEA, selain pernah memegang gelaran juara Asia menganggap kariernya sebagai seorang atlet olahraga sudah berakhir.
"Saya sudah menamatkan pengajian dan perlu bekerja setelah 14 tahun bekerja keras untuk menyumbangkan pingat buat Malaysia.
"Minat terhadap olahraga masih ada, tetapi keinginan untuk bertanding sudah tiada dalam diri. Jadi tiada guna untuk saya teruskan karier saya sebagai atlet olahraga," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Roslinda, yang bakal berusia 31 tahun pada Jun ini memperoleh ijazah Pendidikan Jasmani daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Oktober lalu dan mula bertugas di Sekolah Sukan Malaysia, Pahang sejak sebulan lalu.
Menurutnya, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sudah dimaklumkan mengenai keputusan untuk bersara, namun sama ada keputusan itu diterima atau tidak, dia tetap tidak akan berganjak.
"Pada mulanya mereka agak terperanjat tetapi pihak KOM terpaksa akur dengan keputusan saya untuk bersara. Saya tidak boleh penuhi permintaan orang lain untuk terus sumbangkan emas buat negara," jelasnya.
Dilahirkan pada 9 Jun 1982, Roslinda melakar sejarah olahraga negara apabila merangkul emas Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) 2007 di Jordan. Dia juga memenangi perak Sukan Asia 2006, selain gangsa ATF 2005.
Malah, sepanjang menyertai Sukan SEA dari 2001 hingga 2011, Roslinda telah menyumbang empat emas, selain pernah mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik 2008 di Beijing dengan melayakkan diri secara merit.

Oleh Maszureen Hadzman
sukan@utusan.com.my

Hari Keluarga Alumni Blok Atlet MSN 2013

Selepas Majlis Makan Malam pada 23 Mac 2013 yang lepas,  Hari Keluarga Alumni Blok Atlet akan diadakan pada hujung tahun ini.  Menanti-nanti program ini untuk semua alumni...

Monday, February 25, 2013

Thursday, February 21, 2013

Reunion Alumni Blok Atlet (MSN) UPM 2013

Tahniah kepada En.Zai Zawawi kerana memberi idea untuk mengadakan Reunion Alumni Blok Atlet (MSN) UPM pada ketetapan berikut:

Tarikh : 23 Mac 2013 (Hari Sabtu)
Masa : 5.00petang - 10.00malam
Tempat : Blok Atlet (MSN), UPM, Serdang, Selangor.

Semoga semua bekas atlet yang pernah menginap di Blok Atlet tersebut dapat hadir bersama. Reunion kali ini juga melibatkan atlet semasa yang sedang menginap di Blok Atlet.

Sila memberi maklumbalas tentang kehadiran anda kepada Zai Zawawi melalui Facebook http://www.facebook.com/events/212457348899934/ .

Sekian, terima kasih.


Friday, April 20, 2012

DISIPLIN, komitmen dan kesetiaan


DKK jadi pegangan



DISIPLIN, komitmen dan kesetiaan (DKK). Tiga elemen yang menjadi pegangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memastikan atlet-atlet di bawah naungan badan induk sukan olahraga negara itu melakar kejayaan di pentas antarabangsa bagi mengharumkan nama negara.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim menuntut barisan atlet negara menyemaikan tiga elemen tersebut dalam diri masing-masing jika mahu melihat sukan olahraga menghadirkan impak yang lebih positif di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, jika itu dapat dilakukan, bukan suatu yang mustahil untuk mereka mencipta kejayaan.
“Sebagai contoh, Pandelela Rinong (atlet terjun wanita negara), mengapa dia boleh mencipta kejayaan? Ini kerana, dia memiliki disiplin, komitmen dan kesetiaan yang tinggi demi melakarkan kejayaan untuk negara.
“Begitu juga dengan atlet-atlet olahraga negara. Jika mereka memiliki elemen DKK ini, tidak mustahil mereka juga mampu untuk meraih kejayaan.
“Sebab itu, saya mahu tidak kira jurulatih mahupun atlet menunjukkan disiplin, komitmen dan kesetiaan yang tinggi jika mahu melihat sukan olahraga negara kembali bersinar,” kata Shahidan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kem Olahraga Negara di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan barisan pegawai tertinggi KOM.
Menurut Shahidan, hasil program yang dijalankan dengan kerjasama MSN selama tiga hari di Agrotech Garden Hulu Langat itu bermula Selasa lalu, pihaknya kini dapat melihat atlet-atlet olahraga negara mempunyai semangat juang yang cukup tinggi.
“Inilah hasilnya menerusi program yang kita jalankan. Atlet-atlet menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Saya harap semangat seperti ini dapat dikekal dan membawa semangat seperti ini setiap kali beraksi dalam mana-mana kejohanan yang akan disertai nanti,” jelas Shahidan.
Meskipun mengakui wujudnya polemik dalam KOM sebelum ini, Shahidan menegaskan bahawa perkara tersebut sudah berlalu dan apa yang paling penting adalah memikirkan mengenai program pembangunan demi kemajuan sukan olahraga negara.
“Segala yang telah berlaku, biarlah ia berlalu. Kami mahu lupakan segala cerita yang tidak elok mengenai KOM.
“Saya sudah tidak mahu ada perbezaan pendapat dalam kalangan atlet, jurulatih dengan pegawai-pegawai KOM. Jika ada apa-apa, ia boleh diselesaikan dengan perbincangan,” ujarnya.
Sementara itu, Zolkples memberitahu pihaknya dan KOM telah mengenal pasti tiga calon yang dilihat layak untuk memegang jawatan selaku Pengarah Teknikal KOM.
“Apa yang saya boleh katakan, ketiga-tiga calon itu tadi adalah dari luar negara. Namun, belum ada keputusan penuh dibuat mengenainya kerana kami mahu meneliti dengan lebih terperinci” kata Zolkples.

Pesuruhjaya Sukan tempat mengadu... "selepas 14 hari...."

Pesuruhjaya Sukan tempat mengadu

HAMBERI berkata sesuatu kepada Mohd. Yasin ketika menyampaikan petisyen di Pejabat Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil semalam.



SEDAR tiada tindakan diambil oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung petisyen yang diserahkan pada 13 Februari lalu, beberapa jurulatih olahraga negara bersemuka dengan Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil semalam.
Kumpulan itu yang diketuai jurulatih pecut, Hamberi Mahat sekali lagi mengambil langkah yang sama untuk menghantar petisyen setebal 23 muka surat yang bertajuk Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh.
Hamberi berkata, kandungan yang terdapat dalam laporan itu mengenai kemelut dalaman yang telah berlaku dalam KOM serta isu doping melibatkan atlet negara sebelum ini.
"Kami mendapat maklumat ada Akta Pembangunan Sukan 1997 dikuatkuasakan oleh Pesuruhjaya Sukan yang berhak mengambil tindakan kepada individu atau persatuan yang boleh menjejaskan pembangunan sukan.
"Selepas tiada tindakan yang diambil, jadi kami mengambil langkah untuk menyerahkan petisyen itu kepada Pesuruhjaya Sukan.
"Kami berharap dengan perbincangan yang telah kami lakukan dengan Datuk (Mohd. Yasin) tadi (semalam), saya harap akan ada keputusan yang positif dan telus," kata Hamberi selepas menyerahkan petisyen tersebut di Pejabat Pesuruhjaya Sukan, Bukit Jalil semalam.
Menurut Hamberi, Mohd. Yasin meminta diberikan masa untuk menilai laporan yang diserahkan itu sebelum melakukan tindakan selanjutnya.
"Kami menuntut agar mereka menyiasat apa yang telah berlaku dalam KOM yang dilihat mampu mendatangkan masalah kepada atlet dan jurulatih.
"Datuk (Mohd. Yasin) memberitahu yang beliau akan menghantar surat kepada KOM untuk meminta penjelasan petisyen itu dalam tempoh dua minggu lagi.
"Jurulatih dan atlet olahraga tidak ada kuasa, kami hanya boleh buat laporan (petisyen) dan tunggu tindakan selanjutnya," tambahnya lagi.
Mohd. Yasin pula berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci petisyen yang telah diserahkan itu.
"Saya telah menerima petisyen daripada jurulatih dan atlet kebangsaan. Saya akan meneliti dahulu sebelum mengambil keputusan seterusnya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hamberi berharap Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim tidak lagi dicalonkan bagi menjawat jawatan tersebut pada mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM bulan depan.
"Objektif kami menulis petisyen itu kerana tidak mahu dia (Karim) ada dalam kesatuan, sekiranya terjadi juga, kami akan cuba melakukan sesuatu yang termampu," ujarnya

Tuesday, April 3, 2012

Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju dicalonkan sebagai presiden KOM


Laporan KOSMO (3 Apr 2012) - KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) bakal melalui transformasi apabila Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan persetujuan untuk dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan kesatuan itu pada hujung bulan ini.
Persetujuan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar minggu lepas.
Presiden Persatuan Olahraga Johor, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor berkata, pada 18 Mac lalu wakil ahli gabungan KOM dari Johor, Selangor, Kelantan, Terengganu, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah menghadap Tunku Ismail di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru bagi mengemukakan cadangan agar baginda bersetuju untuk dicalonkan sebagai presiden persatuan sukan tertua di Malaysia itu.
“Selain itu, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah memberi sokongan penuh agar Tunku Ismail dicalonkan pada pemilihan akan datang.
“Selepas menimbang dan mengkaji situasi terkini KOM serta selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Tunku Ismail akhirnya bersetuju untuk dicalonkan pada pemilihan yang mungkin akan diadakan bulan ini,” kata Mohd. Rashidi pada sidang akhbar
di Johor Bahru semalam.
Menurut Mohd. Rashidi, sepuluh daripada 15 ahli gabungan KOM bersetuju untuk mencalonkan Tunku Ismail sebagai pemimpin KOM kerana yakin baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) mampu untuk melakukan transformasi terhadap sukan olahraga di Malaysia.
Jelasnya, Tunku Ismail merupakan calon yang sesuai bagi menggantikan presiden sekarang, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana baginda masih muda dan bertenaga, serta cukup berdisiplin selepas mendapat latihan ketenteraan.
Baginda juga atlet yang berjaya selepas memenangi beberapa pertandingan polo di peringkat antarabangsa.
“Kami inginkan sesuatu pembaharuan dan sesuatu yang baru. Kami yakin Tunku Ismail boleh menjadi ikon yang baik buat remaja dan dengan sikap baginda yang suka mendampingi rakyat, saya percaya Tunku Ismail dapat memberi semangat kepada atlet olahraga di setiap lapisan.
“Sehubungan itu saya menyeru semua ahli gabungan, jurulatih-jurulatih dan atlet yang betul-betul ingin melihat pembangunan sukan olahraga di Malaysia berkembang dapat memberi sokongan terhadap pencalonan Tunku Ismail,” katanya.
Daripada Penulis :
Namun, siapa pula akan dicalonkan untuk dipilih sebagai jawatan Timbalan Presiden KOM???